06 Oktober 2011

Dr M: Kekalkan sistem sekarang untuk capai Wawasan 2020

Sistem perkongsian kuasa dan kekayaan yang diamalkan sekarang harus dikekalkan bagi membolehkan negara ini mencapai matlamat Wawasan 2020 menjadi negara maju, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
  
Sistem itu, terutamanya perkongsian kuasa yang dilaksana oleh Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, telah terbukti sebagai penyelesaian terbaik untuk negara pelbagai bangsa seperti Malaysia, katanya.

"Kita ada konsep pelbagai parti politik yang mewakili kaum berbeza bekerjasama di bawah satu gabungan. Konsep itu jelas berjaya, sama ada ketika di bawah Perikatan dan kemudian gabungan dan kini Barisan Nasional.

"Mereka telah memenangi setiap pilihan raya dan membentuk kerajaan sama ada pada peringkat persekutuan ataupun  negeri," katanya di hadapan kira-kira 1,000 penduduk Sibu, di sini malam tadi.

Dr Mahathir mengadakan lawatan sehari ke Sibu bagi memenuhi undangan Persatuan Siswazah Bumiputera. 
  
Beliau berkata walaupun merupakan sebuah negara berbilang bangsa dengan pelbagai agama, Malaysia kini menjadi negara yang bersatu padu, stabil dan maju kerana sistem itu.
  
"Sudah tentu akan ada sedikit rasa tidak gembira kerana tidak ada seorang pun dari mana-mana bangsa atau kumpulan boleh mendapat semua 100 peratus apa yang mereka fikir hak mereka.
  
"Tetapi ini adalah ciri-ciri masyarakat yang adil kepada semua. Kita melakukan perkara yang betul apabila hampir setiap orang berasa tidak gembira sedikit," katanya.
  
Beliau berkata masyarakat harus terus menyedari yang mereka harus berkorban sedikit bagi mendapat sesuatu yang lebih bernilai.
  
"Masyarakat seharusnya tidak membuat tuntutan yang tidak dapat dipenuhi atau bertindak secara berkonfrontasi kerana ini hanya menimbulkan ketegangan dan pergaduhan yang akan memusnahkan kemajuan yang telah kita capai," katanya.

Mengenai perkongsian kekayaan, beliau berkata menjadi dasar semua negeri untuk berkongsi menikmati kemakmuran negara.
  
Katanya kekayaan negara terletak pada sumber minyak dan gas serta industri minyak sawit, getah dan lada hitam.
  
"Kekayaan kita juga datang daripada perniagaan besar yang berpusat di tempat seperti Kuala Lumpur di mana terdapat ramai orang kaya di negara ini. Sistem kita membolehkan lagi kaya anda, lagi banyak anda dikenakan cukai," katanya.

Dr Mahathir berkata hasil daripada kekayaan sedemkian dan cukai kemudian diagih ke seluruh negara oleh kerajaan agar negeri kecil seperti Perlis dapat membiayai pembangunannya dan tidak dipinggirkan.
  
Katanya jika ada yang menganggap bahawa kekayaan sesebuah negeri hanya untuk negerinya sahaja, maka kekayaan Kuala Lumpur harus dibelanjakan untuk bandaraya itu sahaja.
  
"Tetapi ini tidak adil kerana Kuala Lumpur adalah tempat di mana semua orang mahu berkumpul kerana kemudahan yang hebat dalam komunikasi, pengangkutan dan dalam menjalankan pelbagai perniagaan," katanya.
  
Dr Mahathir juga mengulangi bahawa menerusi keadilan pengagihan kekayaan itulah "pembangunan boleh dilihat di merata tempat di negara ini."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan