06 Oktober 2011

Dr M: Kekalkan sistem sekarang untuk capai Wawasan 2020

Sistem perkongsian kuasa dan kekayaan yang diamalkan sekarang harus dikekalkan bagi membolehkan negara ini mencapai matlamat Wawasan 2020 menjadi negara maju, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
  
Sistem itu, terutamanya perkongsian kuasa yang dilaksana oleh Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, telah terbukti sebagai penyelesaian terbaik untuk negara pelbagai bangsa seperti Malaysia, katanya.

"Kita ada konsep pelbagai parti politik yang mewakili kaum berbeza bekerjasama di bawah satu gabungan. Konsep itu jelas berjaya, sama ada ketika di bawah Perikatan dan kemudian gabungan dan kini Barisan Nasional.

"Mereka telah memenangi setiap pilihan raya dan membentuk kerajaan sama ada pada peringkat persekutuan ataupun  negeri," katanya di hadapan kira-kira 1,000 penduduk Sibu, di sini malam tadi.

Dr Mahathir mengadakan lawatan sehari ke Sibu bagi memenuhi undangan Persatuan Siswazah Bumiputera. 
  
Beliau berkata walaupun merupakan sebuah negara berbilang bangsa dengan pelbagai agama, Malaysia kini menjadi negara yang bersatu padu, stabil dan maju kerana sistem itu.
  
"Sudah tentu akan ada sedikit rasa tidak gembira kerana tidak ada seorang pun dari mana-mana bangsa atau kumpulan boleh mendapat semua 100 peratus apa yang mereka fikir hak mereka.
  
"Tetapi ini adalah ciri-ciri masyarakat yang adil kepada semua. Kita melakukan perkara yang betul apabila hampir setiap orang berasa tidak gembira sedikit," katanya.
  
Beliau berkata masyarakat harus terus menyedari yang mereka harus berkorban sedikit bagi mendapat sesuatu yang lebih bernilai.
  
"Masyarakat seharusnya tidak membuat tuntutan yang tidak dapat dipenuhi atau bertindak secara berkonfrontasi kerana ini hanya menimbulkan ketegangan dan pergaduhan yang akan memusnahkan kemajuan yang telah kita capai," katanya.

Mengenai perkongsian kekayaan, beliau berkata menjadi dasar semua negeri untuk berkongsi menikmati kemakmuran negara.
  
Katanya kekayaan negara terletak pada sumber minyak dan gas serta industri minyak sawit, getah dan lada hitam.
  
"Kekayaan kita juga datang daripada perniagaan besar yang berpusat di tempat seperti Kuala Lumpur di mana terdapat ramai orang kaya di negara ini. Sistem kita membolehkan lagi kaya anda, lagi banyak anda dikenakan cukai," katanya.

Dr Mahathir berkata hasil daripada kekayaan sedemkian dan cukai kemudian diagih ke seluruh negara oleh kerajaan agar negeri kecil seperti Perlis dapat membiayai pembangunannya dan tidak dipinggirkan.
  
Katanya jika ada yang menganggap bahawa kekayaan sesebuah negeri hanya untuk negerinya sahaja, maka kekayaan Kuala Lumpur harus dibelanjakan untuk bandaraya itu sahaja.
  
"Tetapi ini tidak adil kerana Kuala Lumpur adalah tempat di mana semua orang mahu berkumpul kerana kemudahan yang hebat dalam komunikasi, pengangkutan dan dalam menjalankan pelbagai perniagaan," katanya.
  
Dr Mahathir juga mengulangi bahawa menerusi keadilan pengagihan kekayaan itulah "pembangunan boleh dilihat di merata tempat di negara ini."

22 Disember 2010

Terlebih Harapan

Malam ini aku hadir ke Masjid lama di Bandar Jengka untuk mendengar Forum Perdana anjuran Pas, salah seorang ahli panel ialah Tuan Ibrahim Tuan Man, apa yang mendukacitakan aku ialah tentang bagaimana mereka memberi harapan palsu kepada para hadirin yang hadir.

Apa yang aku maksudkan tentang harapan palsu tersebut ialah berkaitan satu pengakuan dari Karpal Singh bahawa dia boleh menerima Islam sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara sebagai Agama Resmi.

Tetapi kenyataan Karpal tersebut di ertikan oleh Pas kepada hadirin sebagai kononya Karpal sanggup menerima hukum Islam.......

Satu lagi ialah bagaimana Tuan Ibrahim berjanji kononnya jika Pakatan Rakyat berjaya membentuk Kerajaan selepas PRU13 nanti, negara Islam sebagaimana yang difahami oleh Pas pasti akan dilaksanakan.......

Walhal para pemimpin DAP jelas memberitahu bahawa jika Pakatan Rakyat berjaya membentuk Kerajaan nanti, corak pemerintahan Islamnya adalah setakat mana yang diizinkan oleh perlembagaan Malaysia sekarang, cumanya penekanan pemerintahan adalah kearah Kerajaan yang bersih dari rasuah, bersih dari penyelewengan dan penguatkuasa negara yang lebih berwibawa.

DAP juga sudah menegaskan bahawa jika PAS tetap juga mahu menubuhkan negara Islam sebagaimana yang difahami oleh mereka, DAP tiada halangan, cuma syaratnya PAS hendaklah berjaya memperolehi kerusi yang cukup untuk mereka memerintah tanpa memerlukan sokongan DAP, maksudnya PAS mampu memerintah sendirian tanpa sokongan dari lain-lain parti berbilang kaum dan kehadiran DAP dan lain-lain parti hanyalah sekadar sebagai " nasi tambah " semata-mata.

Apakah PAS masih tidak faham akan cakap DAP tersebut atau sengaja menyebutkan perkara ini hanya kerana mahu memancing undi dikalangan para pendengar semata-mata.

Sebenarnya bagi pihak aku sendirilah, aku boleh terima dan faham  akan ketidak kemampuan PAS untuk melaksanakan pemerintahan Islam sebagaimana yang mereka war-warkan itu,  cuma apa yang aku harapkan dari Pakatan Rakyat ialah sebuah pemerintahan ala Islam yang lebih mementingkan integriti baik dari segi rasuah atau lain-lain ....... sekurang-kurangnya dapat sebagaimana apa yang ada di Singapura dah dikira ok .

Itu pun kerana dari pemerhatian aku kerajaan BN sekarang langsung tidak bertindak secara bersungguh-sungguh bagi mengatasi perkara ini, munkin mereka tidak berani melakukannya kerana takut terkena batang hidung sendiri..........